SK TILIS

SK TILIS
SK TILIS, WDT 34, 89909 TENOM SABAH

Friday, November 29, 2013

Alam Sekitar

Selamatkan Hutan Paya Bakau!!


Hutan paya pakau merupakan salah satu jenis hutan yang terdapat di Malaysia. Ia tempat tinggal untuk hampir 60 spesis tumbuh-tumbuhan antaranya seperti Api-api (Avicenna), Bakau (Rhizophora), Perepat (Sonneratia) dan Tumu (Bruguiera).

Hutan paya bakau merupakan sempadan di antara lautan dan daratan, kerana ombak dan arus pasang surut mendedahkan daratan kepada bahaya hakisan. Justeru itu, paya bakau berupakan benteng yang menahan daratan daripada terus habis dihakis oleh ombak laut.

Paya bakau juga merupakan zon penampan kepada ribut, kerosakan harta benda, dan kehilangan nyawa akibat bencana semula jadi seperti tsunami. Kawasan-kawasan yang telah ditebang hutan bakau, selalunya terdedah kepada ancaman ribut dan juga pemendakan yang teruk.


Mengapa Paya Bakau Penting?


1. Tempat untuk pembiakan beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang kerana haiwan-haiwan ini bertelur, menetas dan membesar di kawasan paya bakau sebelum kembali ke lautan.

2. Vegetasi hutan paya bakau dapat menstabilkan pesisiran pantai, tebing sungai dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

3. Hutan paya bakau bukan sahaja melindungi daripada hakisan tanah tetapi juga mengumpul semula tanah yang terhakis dari laut. Apabila ombak menolak tanah atau lumpur ke daratan, sistem akar unik paya bakau akan mengumpul tanah berkenaan daripada terus hanyut semula dibawa air laut.

4. Hutan paya bakau juga dikomersialkan terutamanya di kawasan Asia Tenggara. Pokok kayu bakau dijadikan bahan untuk pembinaan, kayu api dan juga kayu arang.

5. Turut menjadi tempat persinggahan burung yang berhijrah dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara.


Paya Bakau Diancaman Kemusnahan

Hutan paya bakau kini merupakan habitat yang paling terancam dan mula lenyap pada kadar yang tinggi. Di Thailand, setengah hutan paya bakaunya lenyap semenjak 1960. Di Filipina pula, keluasan paya bakau telah menurun daripada 448 000 hektar pada tahun 1920 kepada 110 000 hektar pada tahun 1990.

Di Equador pula, dianggarkan 20% hingga 50% hutan bakau telah lenyap disebabkan oleh kegiatan manusia. Tidak mustahil jika pada satu hari nanti, hutan paya bakau akan pupus sepenuhnya dari muka bumi jika manusia masih tidak mahu memelihara salah satu anugerah alam ini.



Anda tahu apa itu pembetungan? Rata-rata, kita pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'sistem pembetungan' di Malaysia?

   Sistem pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan, dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

(a) sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam

(b) tangki septik individu

Sistem pembetungan yang bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah kita, ke loji rawatan kumbahan awam. Tahukah anda, Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

    IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam, seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat, jika masalah berlaku pada saluran paip pembetungan persendirian.

    Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan cekap.

Kenapa Sistem Pembetungan Penting?
----------------------------------------------------------------------------

Sesetengah tempat di Malaysia tidak mempunyai sistem pembetungan. Oleh itu, sisa pembetung masuk atau meresap ke dalam saliran kita. Sistem pembetung yang tidak dirawat akan menyebarkan organisma yang 'patogenik' atau menyebabkan penyakit serta mencemarkan sungai-sungai kita.

     Sungai yang tercemar akan menyebarkan wabak dan menjangkiti hidupan air seperti ikan, siput, kerang, udang dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan mencemarkan alam sekitar kita. Ekosistem sungai juga akan mati. Sungai yang mati akan mengeluarkan bau yang busuk, pemandangan yang kotor, berbahaya pada kesihatan dan menyebabkan sebarang jenis tumbuhan dan haiwan tidak dapat hidup.



Sumber: www.konsumerkini.net.
https://www.ekuntum.com.my/page.php?id=9

No comments:

Post a Comment