SK TILIS

SK TILIS
SK TILIS, WDT 34, 89909 TENOM SABAH

Friday, November 29, 2013

SAYANGI BUMI

BERFIKIR DAHULU SEBELUM MAKAN MAKANAN LAUT     

 Lautan merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang tidak terperi indahnya dan tidak tercapai dek akal akan kewujudannya. Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia.

Tahukan anda, hampir 45kg hasil laut secara puratanya dimakan oleh setiap rakyat Malaysia setahun, ia menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna hasil laut yang tertinggi di Asia Tenggara dan hanya di belakang negara Jepun di benua Asia ini.

Melihat senario ini, pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak NGO untuk meningkatkan kesedaran akan kewujudan masalah ini, antaranya ialah seperti yang dijalankan oleh Dana Hidup Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam (Malaysia Nature Society, MNS) yang telah melancarkan program 'Selamatkan Hasil Laut Kita'. Melalui kempen kesedaran ini, mereka juga telah memperkenalkan satu panduan hasil laut untuk para pengguna Malaysia untuk mengelakkan mana-mana hasil laut yang semakin berkurangan.

Pakar-pakar saintis dunia meramalkan bahawa sekiranya ekploitasi hasil laut masih dijalankan secara berleluasa, maka dalam tempoh 40 tahun daripada sekarang, hasil laut dunia akan mengalami masalah kepupusan yang kronik. Menurut kajian yang dijalankan, penggunaan hasil laut negara kita akan meningkat kepada 50kg setiap seorang dalam tempoh terdekat pada masa hadapan.

Oleh itu, pelbagai usaha dijalankan bagi menekankan bahawa ekploitasi hasil laut secara berlebihan dan tidak lestari telah berlaku di Malaysia. Ini perlu dijalankan dengan serius oleh semua pihak untuk menangani pasaran hasil laut yang berkembang pesat sejak tahun 1980-an lagi. Sekiranya keadaan ini tidak berubah, negara kita bakal menghadapi kekurangan hasil laut.

Pada masa ini, negara kita mempunyai 12,000 orang nelayan dan penternak ikan, dengan tangkapan hasil laut sebanyak 1.65 juta ton yang bernilai sebanyak RM5.8 bilion. Melalui soal selidik yang telah dijalankan, dua pertiga daripada responden akan mengurangkan atau berhenti memakan hasil laut sekiranya stok hasil laut menurun. Manakala hanya satu pertiga orang yang tahu bahawa stok hasil laut telah menurun secara mendadak.

Kita ketahui bahawa sememangnya rakyat Malaysia gemar dan suka makan makanan daripada hasil laut.  Namun sebelum makan, buatlah pilihan yang wajar dengan mengelakkan daripada memakan hasil laut yang semakin pupus. Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir dengan mengikut nafsu serakah mereka. Kepupusan ataupun kehilangan spesies hidupan laut ini bermakna kita juga kehilangan produktiviti dan kestabilan keseluruhan ekosistem. Ia sangat mengejutkan bagaimana trend ini berlaku di luar jangkaan kita.

SAYANGI ALAM SEKITAR KITA!

Bumi kita semakin 'sakit'. Pelepasan gas rumah kaca, pencemaran air dan udara, meningkatnya penggunaan tenaga dan kehilangan mendadak sumber alam semula jadi, kesemuanya benar-benar menggugat alam sekitar dan ekosistem bumi kita. Bumi kita sudah tidak dapat lagi menampung kesemua ini, jika kita tidak melakukan sesuatu.
Dengarlah 'jeritan' bumi kita! Lakukan sesuatu SEKARANG!

Apa yang Dapat Kita Lakukan?

Ya, mulai saat ini, ubahlah sikap kita semua. Ambillah langkah berikut untuk mengurangkan pembuangan sisa!

  • Jangan timbunkan lagi sampah-sarap!

Kitar semula! Asingkan kertas, plastik, logam, kaca dan karton aseptik untuk dikitar semula. Jika anda tidak dapat memasukkannya di pusat kitar semula, asingkan kesemuanya dan biarkan sahaja dalam tong sampah di luar rumah, untuk dipungut. Kitar semula menyelamatkan landskap daripada sampah, mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan mentah, dan mencegah pengeluaran gas metana yang terhasil daripada sampah yang mereput.

  • Jadikan sisa dapur dan taman sebagai baja kompos!

Kembalikan zat, atau nutrien dan tenaga yang ada di dalam lebihan makanan dan sisa rumput dari taman, ke bumi, bukan membuangkannya ke tapak pelupusan sampah. Ini dapat dilakukan dengan menggali lubang dan menimbuskannya untuk dijadikan baja kompos.

  • Jangan membazir walau sedikit pun!

Anda boleh mengitar semula semua sampah-sarap yang berbentuk bukan organik dan membuat baja kompos pada lebih sayuran, ikan dan makanan lain. Ini bermakna, setiap sisa yang ada di dalam rumah anda itu, ada gunanya!

  • Belilah barangan kitar semula!

Setelah mengitar semula sampah-sarap, tiada gunanya jika anda pula tidak mahu menggunakan produk atau barangan yang sudah dikitar semula, misalnya gunakan kertas kitar semula untuk membalut barang; bawa beg kitar semula ke pasar atau pasar raya; gunakan baja kompos bukannya baja kimia; dan sebagainya. Barulah tandanya anda menyokong kempen kitar semula!


TAHUKAH ANDA?

* Kajian mendedahkan bahawa 80% daripada apa yang kita ada, tidak berguna dan tidak diperlukan sebenarnya. Oleh itu, jangan tambahkan lagi pembaziran ini. Prihatinlah kepada alam sekitar dan amalkan 3R - Reduce (Kurangkan), Reuse (Gunakan Semula), dan Recycle (Kitar Semula).





SUMBER :https://www.ekuntum.com.my/page.php?id=25



No comments:

Post a Comment